Friday 21 March 2014

Hari Ahad yang bukan hari cuti

Jam dah pukul 7.50 pagi. Dirinya baru sahaja siap betulkan shawl. Sekali imbas dari kepala ke hujung jubah. OK. Done! Cepat-cepat dia tutup pintu bilik yang dah nak rosak dek selalu dihempas. Kakinya berlari-lari anak dari tingkat 5 menuju ke ruang parkir kereta di tingkat bawah. Dipanaskan enjin kereta ala kadar. Cukup cukup 1 minit sambil mengoleskan pelembab bibir, dia menekan pedal minyak. Sempat ke tidak ni? Kena sempat kan juga cari parking dan bergegas ke mesin punch card.

Memang dia sengaja cari rumah sewa yang dekat dengan pejabat. Sebagai persediaan hari-hari macam ini lah. Hari bila dia terlewat bangun dan tak sempat bersiap sepenuhnya. Biarpun mahal sikit sewa berbanding kawasan lain, Bukit Saujana adalah pilihan yang tepat bagi orang yang suka lambat pergi kerja, eh, punch card tepat pukul 8 dan sampai rumah secepat mungkin lepas habis kerja pukul 5 petang.

Ahh.. Hospital. Kenapa dia sengaja pilih tempat ni? Lebih tepat lagi kota Johor Bahru yang mati melainkan Bazaar Karat. Itu pun sejak 5 minggu dia di sini, belum pernah sekalipun dia menjejakkan kaki ke Bazaar Karat. Walhal dulu bila dengar perkataan Bazaar Karat je dia melompat nak pergi walaupun sudah lewat malam.

Kota ini begitu signifikan dalam kehidupannya. Walaupun dia tidak membesar di Johor Bahru, tapi seseorang yang tak kurang penting baginya telah lahir dan membesar di sini. Dia fikirkan dia ingin mengutip semula memori yang masih bersisa dan cuba campak jauh-jauh supaya dia dapat mulakan kehidupan baru.

Dah setahun pun. Sejak kali terakhir dia berhubung dengan Alif. Dia masih ingat malam itu mereka sedang galak berbalas mesej. Sedikit pun tidak dia tahu selepas itu ia akan menjadi sebuah penantian selama 10 hari untuk dia akhirnya mengetahui kebenaran yang Alif telah pergi meninggalkannya. Alif bukan sahaja meninggalkan dirinya seorang, Alif meninggalkan dunia dan seluruh isinya. Manakala dunia Raudhah gelap sepanjang tahun yang mendatang itu.
            
           ‘Miss Raudhah, hari ni apa aktiviti kami?”
          
         Pertanyaan pelajar menghentikan lamunan Raudhah. Dia sebenarnya belum rancang apa-apa aktiviti untuk pelajar. Clerk case jer lah kot. Itu yang dia mampu. Pelajarnya belum diberi keizinan lagi untuk melakukan apa-apa pengurusan diet pesakit. Jadi dia kena berfikir pantas sebelum pelajar sedar dia tiada apa-apa plan.
            
            “Clerk case. Kejap saya tanya Dietitian, apa case yang kita dapat hari ni.”
                
         Pelajar mengangguk. Mereka mengharapkan nya untuk membantu mereka di sini. Terlihat sinar harapan di mata 4 orang pelajar itu. Raudhah menghampiri meja setiap Dietitian yang ada. Dapat 1 atau 2 kes pun jadi lah. Cukuplah bagi mereka untuk belajar sesuatu daripada tiada langsung. Jadi, lepas ni naik wad, lepas tu tengok pesakit, lepas tu terus ke perpustakaan hospital. Tempat mereka berkampung selama 2 bulan lebih. Hiking lagi hari ini.
                
           Hari ini hari apa ya? Ah… Hari Ahad. Dia masih dalam mod penyesuaian kepada pertukaran hari cuti hujung minggu di Johor. Kalau hari Ahad, disebabkan private cuti, jadi ramailah pelawat yang datang melawat pesakit. Jadi hari ini pelajarnya tak boleh lambat sangat buat kerja. Menjelang pukul 12 je dah ramai dah pelawat masuk wad.
               
           Dia dah bagi awal-awal kepada pelajar, diagnosis pesakit. Dengan harapan pelajar lebih bersedia dan tahu apa nak buat bila naik wad. Pelajar ini kadang-kadang dah bagi awal pun, kelam kabutnya lebih. Benda yang dah belajar bertahun pun boleh blank terus bila tengok muka pesakit. Padahal pesakit biasa je. Pelajar yang kalut lebih.
          
          Raudhah rasa kasihan kepada pelajar. Dia pernah merasai bagaimana menjadi pelajar praktikal Dietetik selama setahun dulu masa belajar. Format program Ijazah Sains (Dietetik) di UPM, hanya 3 tahun penuh di universiti. Tahun akhir ialah tahun praktikal sepenuhnya. Dia dapat pergi merata Malaysia dan merasa latihan di beberapa negeri. Antaranya Hospital Serdang, Hospital Sultanah Zahirah Kuala Terengganu, Hospital Raja Perempuan Zainab, Hospital Sultanah Bahiyah, dan juga Hospital Sungai Buloh.
                
             Selama setahun tu dia dapat merasa percikan kerjaya seorang Pegawai Dietetik di hospital. Bukan tak pernah dia putus asa, semuanya gara-gara hilang keyakinan dengan kemampuan diri. Raudhah bukanlah pelajar cemerlang. Tapi dia paling suka belajar menerusi pemerhatian. Memerhatikan tingkah Pegawai Dietetik dan gerak bicara mereka bila menguruskan pesakit. Dia kagum dengan keyakinan mereka. Tapi mengapa dia tidak yakin?
                
              Pensyarah nya di UPM pernah bertanya adakah dia mahu menjadi seorang Dietitian? Dia hampir menjerit mengatakan mahu. Tapi kenapa markahnya merudum? Tidak sehebat kawan sekelas yang lain? Raudhah tak mahu kalah. Dia akan buktikan yang dia mampu. Dia kena buktikan yang dia bukan seorang yang buat kerja separuh jalan seperti anggapan seorang pensyarah yang lain.

                
           Hari ini dia berjaya. Dia bekerja sebagai seorang Pegawai Dietetik di UiTM. Bertugas di UiTM merupakan kerjaya yang sangat mencabar. Dalam setahun, dia perlu berada di beberapa tempat untuk mengendalikan latihan pelajar, antaranya seperti sekarang. Dia berada di kota Johor Bahru ini untuk membantu pelajar tahun akhir menjalani latihan klinikal. Itulah tugas penting nya; Clinical Instructor a.k.a CI.